Set Ur Mind

Set Ur Mind

Jumaat, 30 Januari 2015



karangan Imam Hassan AL-Banna....
 
      Saya berpendapat seorang yang baik akan mencari kebahagiaan dengan berkhidmat kepada manusia. Dia berasa seronok apabila dia dapat membantu kesusahan orang dan membuat mereka gembira. Dia sanggup berkorban untuk kebaikan masyarakat dan menganggap keuntungan hakiki bagi dirinya. Dia berjihad bagi menghadapi kesukaran dan kesusahan dengan tabah dalam menegakkan kebenaran dan hidayat. Dia cuba menyelamatkan hati manusia dengan merasai penyakitnya. Dia mengkaji ciri - ciri yang mengakibatkan kemerosotan akhlak dan masyarakat. Dia berusaha untuk menegakkan peraturan masyarakat Islam yang lebih baik. Dia bersifat kasih sayang kepada manusia. Dia berusaha sebanyak mungkin untuk meringankan penderitaan manusia dan mencipta suasana yang boleh membantu mereka menjalani kehidupan yang bahagia. Dia juga berusaha memimpin mereka yang sesat ke jalan yang benar.

      Saya yakin tindakan yang tidak bermanfaat kepada orang lain dan juga dirinya adalah tindakan yang salah dan tidak berguna. Tindakan yang paling baik adalah tindakan yang bermanfaat kepada diri sendiri, saudara mara, rakan taulan dan juga negara. Tindakan yang memberi manfaat kepada umum adalah tindakan yang hebat dan mulia. Pendapat - pendapat saya ini yang mendorong saya memilih kerjaya di bidang pendidikan kerana para pendidik adalah sumber cahaya ilmu bagi rakyat.

   
       Mereka menghapuskan kejahilan dan menyebarkan cahaya ilmu di seluruh dunia. Para pendidik ini seumpama lilin yang sedang menyala sambil memberi cahaya kepada orang lain. Saya yakin cita - cita tertinggi yang dapat dicapai manusia ialah mencari keredhaan Allah SWT dengan cara yang diterima dan dirahmati Nya. Seorang manusia yang ingin mencapai cita - cita tertinggi ini akan mendapti dirinya berada di persimpangan jalan. Setiap jalan mempunyai ciri - cirinya tersendiri. Dia bolehlah memilih salah satu dari keduanya.

      Jalan yang pertama adalah falsafah sufi yang sebenar. Dasar jalan ini adalah keikhlasan amalan dan menjauhkan diri dari kesibukan sebarang makhluk yang baik dan tidak baik. Jalan ini lebih dekat dan selamat dari jalan - jalan yang lain. Jalan yang satu lagi adalah pendidikan , tarbiyah dan dakwah.

      Inilah jalan yang lebih mulia di jalan Allah SWT. Al-Quran menggelarnya jalan yang terpuji. Rasulullah s.a.w. sendiri menyebut kepentingan dan kelebihan jalan ini. Selepas merantau dalam alam sufi, saya kini memilih jalan yang kedua kerana ia lebih mulia dan lebih penting. Saya juga yakin bahawa seseorang yang telah mencapai ketinggian ilmu dan berpandangan jauh sudah tentu memilih jalan yang kedua.

     Saya dapati masyarakat kita sudah tidak mempedulikan agamanya lontaran pergolakan politik yang sedang dilaluinya dan juga kerana keadaan masyarakatnya yang terpengaruh dengan Barat. Mereka sudah lupa kepada pencapaian - pencapaian gemilang nenek moyangnya. Berbagai aliran fahaman bukan Islam telah bercampur baur dengan agama Islam yang tulen itu sehingga menghasilkan fahaman - fahaman yang penuh kekeliruan, dalam bentuknya yang jelas, tulen dan mudah itu telah hilang dari pandangan. Di samping itu, terdapat pula tabir khurafat yang menyekat pertumbuhan fikiran kita. Ringkasnya, umat Islam sedang meraba - raba dalam kegelapan jahiliah. Golongan terpelajar dan para belia pula tenggelam di dalam jurang keraguan. Sikap ini merosakkan mereka. Iman mereka menjadi lemah dan mereka pun cenderung ke arah fahaman atheisma atau tidak percaya adanya Tuhan.

     Saya yakin manusia, dari segi fitrahnya, adalah saling berkasih sayang. Dia akan mencari sesuatu yang menjadi sasaran kasih sayangnya. Tumpuan kasih sayang saya adalah seorang sahabat. Dia bersemadi di dalam diri saya seumpama roh saya sendiri. Saya menumpukan kasih sayang saya kepadanya.

*****(karya Abdul Latip Talib)      




Tiada ulasan:

Catat Ulasan